Penembak berpengalaman negara, Nur Suryani Mohd Taibi, meraih motivasi tambahan untuk menghadapi Sukan SEA bulan depan selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 50 meter rifle tiga posisi dalam Kejohanan Menembak Kebangsaan di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Suryani mencatat 590 mata dalam pusingan kelayakan pada sebelah pagi untuk memecahkan rekod 589 mata miliknya yang dilakukan pada 2005.

Rentak cemerlang itu diteruskan Suryani dalam pusingan akhir untuk muncul juara dengan catatan 451 mata.

Dia yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatasi rakan sepasukan, Haslisa Hamed dan Muslifah Zulkifli, yang masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga.

Trio ini juga cemerlang dengan meraih emas acara berpasukan dengan mengetepikan tentangan penembak dari Perak dan Pahang.

"Mula-mula ada rasa ragu-ragu tetapi Alhamdulilah saya berjaya memecahkan rekod walaupun dibezakan satu mata.

"Latihan di Korea Selatan banyak membantu, terutama daripada aspek fizikal dan menyesuaikan diri dalam senario berbeza. Pengetahuan yang saya dapat turut membawa perbezaan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Lutfi Othman mempamer kebangkitan untuk menjuarai acara 10 meter air rifle lelaki.

Dia melakukan sedikit kesilapan dalam awal saingan dan terpaksa mengejar penembak Perak, Loo Jie Ren, sehingga kedudukan terikat 240.4 mata, dengan pemenang terpaksa ditentukan menerusi shoot-off.

Lutfi, yang mewakili Negeri Sembilan, membuktikan statusnya selaku penembak kebangsaan dengan menewaskan Jie Ren untuk meraih emas manakala Ezuan Nasir Khan menduduki tempat ketiga.

"Saya rasa cukup baik. Dalam aksi final tadi, saya ada melakukan sedikit kesilapan sehingga terpaksa kembali mengejar lawan," kata Lutfi.