Atlet memanah para negara, Hasihin Sanawi, menjadikan juara dunia 2019, S. Suresh, sebagai inspirasinya untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dia tidak menyertai skuad negara ke 's-Hertogenbosch, Belanda ketika rakan sepasukan, Suresh, menempah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas menggenggam emas Kejohanan Dunia.

Hasihin secara peribadi tidak menyembunyikan perasaan cemburu, namun dalam masa yang sama menjadikan kejayaan rakan sepasukannya itu sebagai pembakar semangat untuk cuba membuat penampilan kali ketiga di pentas Sukan Paralimpik.

"Saya akan berusaha untuk layak ke Tokyo dan meletakkan sasaran untuk meraih pingat, tidak mengira warna apa, demi negara," katanya.

Hasihin pernah merasai kegemilangan karier ketika membantu kontinjen Malaysia meraih gangsa dalam Sukan Paralimpik London 2012.

Peluang untuknya selepas ini adalah saingan dalam Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, November depan.

"Saya mahu mencabar kebolehan diri sendiri di Bangkok nanti. Terdapat beberapa elemen yang boleh diperbaiki dan saya telah membincangkannya bersama jurulatih."