"Walaupun ada yang baru, kami tidak akan lupakan yang lama."

Itu pendirian Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) apabila mengambil ketua jurulatih baru, Lisa Ann Beehag, untuk menggalas cabaran membawa skuad negara mengharungi cabaran Kejohanan Asia, Jun depan.

PBJM melakukan kejutan apabila menerusi mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) melantik jurulatih baru menggantikan Tracey Robinson.

Bagaimanapun, program latihan jurulatih baru dari Australia itu diterima baik oleh barisan atlet dan ahli persatuan walaupun dilakukan secara berperingkat.

Peringkat pertama dilakukan awal bulan ini selama dua minggu dan langkah berikutnya bakal diadakan bulan depan.

"Dalam fasa satu, kelihatan kami baru kali pertama, atlet boleh beraksi bersama. Begitu juga dengan jurulatih tempatan. Ilmu yang diraih itu dapat dijalankan jurulatih tempatan. Fasa pertama diadakan pada 10 hingga 16 Februari lalu dan fasa dua akan diadakan 8 hingga 12 Mac nanti," kata Setiausaha Kehormat PBJM, Zaitun Md Noh.

Bagaimanapun, dia turut menjelaskan jasa bekas jurulatih negara, Tracey, yang kini berada di Johor tidak akan dilupakan.

"Kami ucap banyak terima kasih kepadanya setelah mencapai emas sebelum ini. Kini, Tracey berhijrah ke Johor untuk melatih pasukan di sana," tambah Zaitun.