Atlet menembak Pahang, Low Wei Chern, meraih emas berganda serta mencatat rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dalam saingan 25m rapid fire pistol lelaki hari ini.

Turut cemerlang ialah atlet menembak Perak, Ahmad Kushairi Abdul Razak, dalam saingan 10 meter rifle lelaki.

Wei Chern melakukan bidikan konsisten dengan mencatat 563 mata untuk emas saingan individu, sekali gus memadam rekod lama 558 mata yang dilakar Omar Sharif dari Selangor pada 2016.

Atlet berasal dari Kuantan itu turut membantu skuad Pahang meraih jumlah 1,652 mata untuk emas berpasukan lelaki yang turut merupakan rekod baru temasya.

Bagi Wei Chern, kecemerlangan itu lebih daripada kejayaan berpasukan dan gembira meraih kejayaan berganda dalam penampilan Sukma terakhirnya.

"Ini usaha sepasukan.

"Saya cuba memberikan prestasi maksimum untuk pasukan dan akhirnya memberikan tekanan kepada diri sendiri sehingga menghasilkan aksi terbaik untuk dapat (emas).

"Saya banyak belajar dalam (di pentas) Sukma. Medal adalah medal tetapi yang penting adalah ilmu dan pengalaman," kata Wei Chern.

Wei Chern menewaskan pencabar terdekatnya, Sarifridzuan Salim dari Terengganu, yang meraih perak dengan 557 mata manakala gangsa milik seorang lagi penembak Pahang, Mohd Ridwan Awaludin, dengan 546 mata.

"Kami cuba tidak memikirkan soal pencabar lain, kami cuma perlu teruskan perjuangan dengan pengetahuan yang kami ada.

"Walaupun tertekan, kami perlu cekap mengawalnya," kata Wei Chern lagi.

Dalam pada itu, Khusyairi berpuas hati dengan kejayaan meraih emas 10m rifle lelaki dengan bidikan konsisten untuk merakam 614.9 mata.

Bidikan Khusyairi membolehkannya membantu Perak meraih emas berpasukan lelaki 10m rifle lelaki dengan jumlah 1,828.5 mata yang juga merupakan rekod baru Sukma.

"Saya tidak pernah terlepas mengikuti latihan.

"Saya dapat membahagikan jadual di antara belajar dengan sukan dan langkah itu berhasil, "kata Kusyairi.

Dalam pada itu, jurulatih menembak Perak, Alaais Neek Sulung, mengakui kelebihan penembak Perak berlatih awal di Pusat Menembak Darul Ridzwan memberi sedikit kelebihan buat mereka untuk cemerlang dalam saingan berpasukan.

"Alhamdulillah kami buat yang terbaik dan meraih apa yang kami impikan.

"Kami dapat menggunakan venue pertandingan untuk mengadakan latihan lebih awal.

"Itu antara kelebihan kami untuk mencapai sasaran," ujar beliau.