Skuad angkat berat Kuala Lumpur berdepan tugas sukar untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan ekoran ketiadaan tiga atlet yang menyumbang lima pingat emas dalam edisi di Perak tahun lalu.

Pasukan itu muncul juara keseluruhan acara angkat berat dalam edisi tahun lalu dengan meraih sembilan pingat emas.

Namun, skuad kendalian Matin Guntali itu berdepan tugas berat apabila tiga atletnya terpaksa meninggalkan temasya itu kerana sudah melebihi had umur 21 tahun.

Ia meninggalkan tugas berat buat barisan sedia ada bagi mempertahankan reputasi sebelum ini.

"(Ia) supaya pihak-pihak atasan dapat melihat potensi atlet-atlet lain untuk maju ke depan supaya sukan angkat berat lebih dikenali sebagai sukan yang profesional.

"Saya sedar kategori saya ini merupakan kategori yang ramai orang mahu tengok.

"Insya-Allah, saya akan membuat yang terbaik dengan apa yang saya ada sekarang," kata atlet kategori 67 kilogram, Zakaria Azman.

Antara yang terpaksa meninggalkan temasya itu ialah pemenang dua pingat emas, Jabriella Teoh Samuel dan Hazirul Najib selain Afiq Haziq.

"Saya harap kategori 55 (kilogram) akan berada dalam Sukma nanti," kata atlet kategori itu, Alfrado Roy.

"Kami akan mencuba buat yang terbaik dan kita akan lihat apa yang akan terjadi di sana nanti."