Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang menyenaraikan kembali acara itu sebagai sukan pilihan dalam temasya di Perak, September depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, hari ini sebulat suara untuk memasukkan semula tiga sukan teras, iaitu angkat berat, taekwondo dan sepak takraw, yang digugurkan sebelum ini.

Lantaran itu, Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail, berpandangan keputusan itu bersesuaian kerana tidak merugikan atlet di peringkat negara yang sudah pun menjalani latihan sejak 2016.

Beliau, bagaimanapun, memberi peringatan agar atlet yang mengambil bahagian dalam Sukma nanti tidak terlibat dengan sebarang bahan terlarang.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada persatuan negeri masing-masing.

"Mereka perlu maklum tentang perkara ini dan pemantauan perlu dibuat terhadap atlet sukan angkat berat agar perkara tidak diingini tidak berulang.

"Dengan keputusan ini, saya harap pihak persatuan negeri dapat meneruskan latihan atlet mereka kerana pada ketika ini, ada atlet yang berlatih di luar negara," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hanapah menjelaskan PABM hanya menghantar atlet yang tersenarai ke Sukan Komanwel bagi menghadapi Kejohanan Pra-Sukan Asia di Indonesia bermula hujung minggu ini.

Ini kerana tempoh pendaftaran perlu dilakukan lebih awal dan saingan itu nanti juga merupakan antara rangka persiapan ke Gold Coast sebelum skuad negara menjalani kem latihan pusat selama 45 hari di Balik Papan, Indonesia.

"Penyenaraian nama itu dihantar pada penghujung tahun lalu.

"Ini sebahagian program latihan, ini bukan kejohanan sebenar dan tidak lebih kepada merasai pengalaman suasana pertandingan," katanya lagi.