Kerajaan Negeri Terengganu akan meneruskan pembinaan velodrom pertama di negeri itu yang tertangguh susulan pertukaran kerajaan dalam Pilihanraya Umum (PRU) lalu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah memberi lampu hijau kepada projek tersebut.

Tambahnya lagi, KBS melalui menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmad, bersetuju meneruskan hasrat Terengganu menyiapkan velodrom di daerah Dungun yang pernah dilancarkan Khairy Jamaluddin, penghujung Mac lalu.

"Cadangan ini akan kami bawa untuk diluluskan dalam pembentangan belanjawan negeri (Bajet 2019) bulan depan," ujar Dr. Ahmad Samsuri selepas menyambut ketibaan kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi.

Sebanyak RM1.1 juta turut disediakan kerajaan negeri kepada atlet dan pegawai kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali kelima dengan kutipan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Selain insentif RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa), turut mendapat ganjaran ialah Atlet Wanita Terbaik, Azreen Nabila Alias, yang akan dibawa menunaikan umrah.

Malah, imbuhan tambahan RM100 setiap seorang kepada atlet dan pegawai pasukan selain cuti peristiwa pada Ahad, 30 September ini, turut diumumkan Dr. Ahmad Samsuri.

"Imbuhan ini merupakan suntikan awal kerana apa yang penting, kami mahu memastikan kecemerlangan ini dapat diteruskan.

"Pelan strategik akan dirangka bersama Majlis Sukan Negeri (MSNT) dalam masa terdekat dan Terengganu mahu kekal juara pada edisi di Johor pada 2020," tambahnya.