Terengganu membuktikan kehebatan mereka dalam acara berbasikal apabila empat pelumbanya hari ini mendominasi perlumbaan kriterium lelaki dan wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018, yang bermula dan berakhir di Dataran Warisan di sini, hari ini.

Dalam kategori wanita yang melibatkan jarak 50 kilometer (km) itu, Nur Aisyah Mohamad Zubir berjaya meraih pingat emas selepas mengumpul 36 mata, manakala rakan sepasukannya Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham mendapat pingat perak dengan 21 mata, diikuti Nur Azrenna Ahmad Jumry dari Sarawak untuk pingat gangsa dengan 14 mata.

Nur Aisyah ketika ditemui nyata sangat teruja dengan kejayaannya meraih pingat emas ketiga peribadi dalam temasya Sukma kali ini.

Semalam beliau memenangi pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai (eng: mass start) selain menjuarai perlumbaan ujian masa individu (eng: individual time trial) pada Rabu.

“Saya disaingi dengan hebat oleh beberapa pelumba dari Selangor, Sarawak dan Kedah sebelum membuat pecutan terakhir pada 300 meter bagi menamatkan perlumbaan dalam acara Kriterium ini,” katanya.

Skuad berbasikal lebuhraya Terengganu turut meraih kemenangan 1-2 dalam kategori lelaki sejauh 80km.

Pelumba mereka, Wan Abdul Rahman Hamdan meraih emas dengan 38 mata dan diikuti rakan sepasukannya, Zuladri Amin Zulkurnain yang mendapat 25 mata, manakala gangsa milik pelumba Selangor, Muhammad Fitri Saharil dengan 14 mata.

Wan Abdul Rahman berkata kemenangan pingat Emas pada hari ini dapat menebus kekalahan kepada pelumba dari Johor semalam.

Menurutnya walaupun persaingan sengit tetapi dengan semangat berpasukan yang mantap, kemenangan menjadi milik Terengganu.

-- BERNAMA