Sabah menutup tirai acara terjun Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dengan satu pingat emas dan satu gangsa, hari ini.

Pingat emas Sabah diperolehi menerusi Jellson Jabillin yang juga atlet kebangsaan bagi acara 10m platform individu lelaki selepas mengumpul 347 mata.

Acara itu juga menyaksikan atlet Sarawak, Enrique Maccartney Ak Harold, meraih pingat perak dengan 329.9 mata manakala seorang lagi wakil Sarawak, Bertrand Rhodict Ak Lises, sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengumpul 314.35 mata.

Emas itu juga adalah yang ketiga selepas Sabah turut memenanginya sebelum ini menerusi Gabriel Gilbert Daim bagi acara 3m papan anjal lelaki serta gandingan Gabriel dan Jellson bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Sementara itu, gandingan Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali memenangi pingat gangsa kedua mereka hari ini selepas mendapat tempat ketiga bagi acara 3m papan anjal seirama wanita.

Pingat emas bagi acara itu dimenangi gandingan Wilayah Persekutuan, Loh Zhiayi dan Ong Ker Ying, manakala gangsa diraih gandingan Selangor, Adeline Chin dan Koh Hui Yan.

Nur Ain dan Nurfazriyanti sebelum ini turut memenangi gangsa bagi acara platform seirama.

Pengurus skuad terjun Sabah, Anjelica Sipul, berkata secara keseluruhan dia sangat berpuas hati dengan pencapaian mereka.

"Ini antara pencapaian terbaik kami sejak sekian lama dan saya harap kami akan membuat yang terbaik lagi pada masa akan datang," katanya.

Acara terakhir terjun bagi Sukma kali ini akan berlangsung esok iaitu 3m papan anjal wanita, bagaimanapun, Sabah tidak menghantar wakil bagi acara itu.