Pasukan terjun Sabah menyumbang satu lagi emas untuk kontinjen negeri itu selepas gandingan Gabriel Gilbert Daim dan Jellson Jabilin memenangi acara 3 meter papan anjal seirama di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Sukan MBI Perak, hari ini.

Gabriel dan Jellson memenangi acara berkenaan selepas mengutip jumlah 377.10 mata, jauh mengatasi dua lagi gandingan dari Selangor dan Sarawak.

Gandingan Selangor, Ikhlas Ahmad Sharol Lail dan Muhammad Syahmi Mohd Rezal, memenangi pingat perak dengan kutipan 307.62 mata manakala gandingan Sarawak, Bertrand Rhodict Ak Lises dan Enrique Aliff Othman, sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengutip 307.5 mata.

Pingat emas itu adalah yang kedua dicapai Sabah selepas Gabriel turut memenangi acara 3m papan anjal lelaki, baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus skuad terjun Sabah, Anjelika Sipul, ketika ditemui sangat puas hati dengan prestasi Gabriel dan Jellson.

"Kami tidak jangka emas dalam acara ini kerana bagi seirama, ada banyak kemungkinan tetapi apa yang saya lihat, prestasi mereka sangat bagus.

"Kami mendapat saingan daripada gandingan Selangor serta Sarawak kerana disiplin kesukaran mereka hampir sama dengan kami, jadi apa yang membezakan hanyalah teknik mereka," katanya.

Dalam pada itu, Anjelika turut gembira kerana memperolehi dua emas yang tidak dijangka setakat ini.

"Memang kami menyasarkan satu emas tetapi kepada Jellson yang akan bersaing dalam acara 10m platform lelaki, jadi bila kami dapat dua emas yang di luar jangkaan, sudah pasti ia sangat menggembirakan dan saya juga sangat teruja.

"Sekarang, kami harapkan Jellson dapat mencapai sasaran pingat emasnya esok," katanya.

Tambah beliau, satu lagi acara akan disertai Sabah esok ialah 3m papan anjal seirama yang diwakili Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali.

"Untuk acara wanita seirama ini, kami sebenarnya tidak menyasarkan apa-apa tetapi saya harap mereka sekurang-kurangnya akan membawa pulang pingat gangsa," katanya.