Skuad ragbi wanita Sabah mencipta sejarah apabila kali pertama memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) selepas menundukkan Selangor 31-0 dalam final di Stadium Ragbi Perak, Kompleks Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini.

Sabah bermula garang apabila mendahului 19-0 dalam separuh masa pertama menerusi tiga try dan dua conversion.

Selangor cuba memberi saingan dalam babak kedua, namun skuad kendalian bekas pemain All Blacks, Brad Mika, itu sukar digugat, malah menambah mata menerusi dua try dan satu conversion bagi mengesahkan kemenangan dengan keputusan 31-0.

Terdahulu, sebelum melangkah ke final, Sabah menundukkan Wilayah Persekutuan 24-0 dalam aksi suku akhir pagi tadi, kemudian meneruskan kecemerlangan mereka di peringkat separuh akhir apabila membenam Johor 22-0.

Dalam pada itu, pasukan ragbi lelaki Sabah gagal menyinar dalam Sukma kali ini apabila sekadar muncul juara kategori bowl atau secara keseluruhan di tempat kesembilan.