Persatuan Petanque Negeri Terengganu (PETER) meletakkan sasaran dua pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Presidennya, Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, sasaran itu dibuat selepas menilai prestasi semasa atlet Terengganu serta negeri pencabar yang lain.

Malah mereka juga akan berkampung di Vietnam selama 15 hari pada April sebagai antara persiapan akhir sebelum bermula pertandingan sebenar.

"Saya lihat buat masa ini atlet-atlet kita mampu menyaingi pesaing lain dan tinggal satu atau dua lagi kejohanan pemanas badan untuk disertai.

"Terengganu dalam landasan terbaik untuk membaiki pencapaian 2018 iaitu satu pingat emas dan tiga gangsa," jelasnya.

Sementara itu hampir 300 atlet seluruh negara menyertai Kejohanan Petanque Beregu Antarabangsa Terbuka Terengganu di Dungun selama dua hari berakhir petang semalam.

Kategori lelaki diungguli wakil tuan rumah yang juga atlet negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Mohd Haizzat Rosli, yang menang 13-11 ke atas Mohd Faiza Mohammad dan Firdaus Adli Bakri (Johor).

Selaku juara, Syed Akmal dan Haizzat memenangi wang tunai RM4,000 dan medal manakala lawannya terpaksa berpuas hati dengan RM2,000 berserta medal.

Pahang pula mendominasi kategori wanita selepas dua beregu mereka bertemu sesama sendiri di final untuk masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 berserta medal.

"Beberapa negara luar terpaksa menarik diri pada saat akhir berikutan novel koronavirus (COVID-19).

"Begitupun kejohanan ini tetap meriah dengan penyertaan tertinggi berbanding tahun lalu dan boleh dianggap sebagai pra-Sukma," tambah Sarifah Fauziah.

Kredit foto: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)