Walaupun mencapai sasaran satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19, skuad karate Sabah perlu berusaha lebih gigih sekiranya mahu mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, pasukan Sabah adalah yang ketiga terbaik dalam Sukma kali ini di belakang Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, menjelaskan penyertaan mereka dalam Sukma kali ini boleh dikatakan memuaskan kerana mencapai sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, dia menegaskan kejayaan yang dicapai sepatutnya lebih baik lagi kerana beberapa atlet mereka berjaya mara ke final tetapi gagal membuahkan emas.

"Enam orang (atlet) berada dalam final dan kami sepatutnya membawa pulang enam emas," katanya dalam nada bergurau ketika dihubungi, hari ini.

Dia juga menjelaskan apa yang paling penting dalam Sukma kali ini ialah mencapai sasaran di samping melakukan persiapan untuk kejohanan akan datang, termasuk Sukma berikutnya.

"Dengan segala cabaran yang kami hadapi untuk Sukma kali ini, kami berjaya juga mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Para jurulatih telah melakukan tugas mereka dengan baik dan atlet kita juga telah berusaha bersungguh-sungguh, begitu juga pengurus pasukan (Joanes Joitol) yang melaksanakan tanggungjawab beliau dengan baik.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami, termasuklah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan juga ibu-bapa atlet," katanya lagi.