Skuad karate Sabah lebih awal mencapai sasaran satu pingat emas mereka apabila memperolehinya di hari pertama menerusi Maychelle Roger Mool dalam acara kumite wanita -61kg.

Maychelle menewaskan atlet dari Selangor, R Shalini 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Dewan Muallim Politeknik Behrang, Perak, hari ini.

"Maychelle adalah pemenang pingat perak pada SUKMA Sarawak dan dia memperbaikinya kali ini. Saya harap kemenangannya itu menjadi suntikan kepada karatekas lain untuk menambah sumbangan pingat pada dua hari berikutnya ini," kata ketua jurulatih, Julian Chin ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang lagi atlet, Vellcarollyne Agustine hampir menggandakan emas untuk Sabah apabila turut mara ke final acara kata individu wanita tetapi akhirnya hanya berpuas hati dengan pingat perak apabila tumpas tipis 1-0 ditangan peserta Pulau Pinang, Ariana Lim Junyi.

Sabah juga memenangi satu pingat gangsa di hari pertama pertandingan karate menerusi Richal Mattan dalam acara kumite -60kg.