Kontinjen tuan rumah, Perak berjaya mara ke peringkat suku akhir futsal wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 selepas membenam Sarawak 7-2 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Arena Sukan Manjung, hari ini.

Perak amat memerlukan kemenangan dalam perlawanan ini untuk mengiringi Kedah mara ke suku akhir dari Kumpulan A.

Hasrat mereka itu diterjemahkan oleh barisan anak didik Mohd Nazim Din, bermula pada minit ke enam, menerusi Quzzatul Ain Ibrahim.

Dua minit kemudian, kedudukan menjadi 2-0 memihak Perak, giliran Nabila Shahirah Nafi pula mencetak jaringan.

Perlawanan semakin rancak apabila Sarawak merapatkan jurang menjadi 2-1 apabila Shurley Uriey Phillip mencuri ruang untuk melepaskan rembatan.

Perak kemudian menambah satu lagi jaringan menerusi Fifi Nur Syahirah Suhaimi untuk kedudukan menjadi tiga satu sehingga tamat separuh masa pertama.

Perak yang diiringi sokongan padu penyokong tempatan, menguasai separuh masa kedua untuk meledak empat gol, dengan masing-masing disumbangkan oleh Nurul Asyiqin Mohammad Hisham yang mencetak dua gol, dan masing masing satu gol oleh Dayang Nur Atasha Sharul Sani dan Nabila.

Sarawak pula hanya mampu untuk menambah satu sahaja lagi gol pada minit ke-33 menerusi Siti Norhaida Zamri.

"Saya lebih mengutamakan bertahan dalam perlawanan ini, Saya sangat gembira kerana berjaya memastikan kemenangan untuk Perak," kata Dayang.

"Sarawak kekurangan stamina dan pengalaman bagi menghadapi saingan ini," kata pemain Sarawak, Nur Hazreen Abdullah Sulaiman.