Perlawanan cukup dramatik disajikan di antara Wilayah Persekutuan dan Johor dalam aksi final bola jaring yang berlangsung di Taiping dengan keputusan akhir memihak kepada Wilayah Persekutuan, sekali gus melengkapkan kejuaraan kelima mereka di pentas Sukan Malaysia (Sukma) sejak 2004.

Wilayah Persekutuan hadir ke Sukma Perak 2018 dibantu barisan pemain sama ketika menjulang gelaran juara Kejohanan Remaja Kebangsaan, Mac lalu.

Berdepan dengan Johor di pentas final menjanjikan pertemuan yang cukup sengit, apatah lagi Johor dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Aminah Ashaari.

Johor sememangnya mahu membalas kekecewaan setelah tumpas di peringkat kumpulan tempoh hari dengan keputusan 55-41.

Wilayah Persetuan bermula dengan langkah kanan apabila suku pertama menyaksikan mereka mendahului 18-14.

Puteri Intan Balqis dan Noorsabadinee menjadi penjaring tetap untuk skuad Wilayah Persekutuan sementara Johor menagih kudrat Anis Syazwani Apandi dan Nuraina Ruzaini menjadi perancang untuk pasukan mereka membuat jaringan.

Tatkala Johor dilihat mampu untuk menamatkan saingan sebagai juara, Wilayah Persekutuan kembali menyusun strategi untuk bangkit, sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 54-48.

Ini juga merupakan pingat emas bola jaring kelima Wilayah Persekutuan dalam Sukma selepas memenanginya pada 2004, 2010, 2011 dan 2013.

"Ia merupakan persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan dan kami gembira meraih kemenangan buat kali kelima ini," kata kapten Wilayah Persekutuan, Nur Amisya Khairrudin.

"Kami telah mendahului dengan satu jaringan. Kesilapan kami adalah terlalu tergesa-gesa untuk menambah lagi jaringan," kata Aminah.