Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin serta Anis Amira Rosidi mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai acara pecut lelaki dan wanita berbasikal trek saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak, hari ini.

Selepas aksi hari pertama ditunda berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan, sesi pagi pada hari kedua juga mengalami nasib yang sama.

Ia berikutan hujan semalaman di Ipoh sehingga mengakibatkan permukaan trek di Velodrom Rakyat mengambil masa yang lama untuk kering sepenuhnya.

Hasilnya, saingan bagi menghabiskan acara yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan selama dua jam.

Begitupun, ia tidak menggugat Shariz untuk menewaskan Muhammad Ridwan Sahrom untuk menjuarai acara pecut individu lelaki.

Kejayaan itu menebus kehampaan Shariz yang ditewaskan abang kepada Ridwan, Shah Firdaus Sahrom, di Sarawak dua tahun lalu.

Gangsa menjadi milik atlet Johor, Khairil Nizam Mohd Rasol, yang mengatasi Alif Aiman Safuan dari Selangor.

"Saya agak berpuas hati dengan kayuhan tadi, malah saya berasa bangga kerana ramai atlet-atlet muda yang sedang meningkat naik.

"Justeru, saya rasa tercabar.

"Atlet-atlet muda dilihat tidak berasa rendah diri untuk memberi saingan sengit kepada pelumba senior," kata Shariz.

Saingan wanita pula menyaksikan Anis tidak berdepan kesukaran untuk mengatasi tentangan Siti Nur Alia Mansor dari Terengganu dalam dua perlumbaan.

Nyata, reputasi besar yang dibawa oleh atlet berasal dari Perlis tersebut memberi kelebihan untuknya memenangi emas manakala gangsa dibawa pulang atlet Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

"Saya tidak boleh kalah kepada atlet negeri kerana ia boleh menimbulkan isu.

"Saya tiada masalah untuk emas tetapi masih banyak belajar lagi seperti aspek taktikal," ujar Anis.

Dalam pada itu, acara 4km kejar mengejar individu lelaki dimenangi atlet Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan.

Dia menewaskan Eiman Firdaus Mohd Zamri yang mewakili Johor dalam penentuan pingat emas sementara pelumba Sabah, Waldron Chee Wen Chon, meraih gangsa.