Jurulatih karate Wilayah Persekutuan, Shaharudin Jamaludin, berpuas hati dengan pencapaian anak didiknya selepas meraih empat pingat emas keseluruhan bagi saingan kumite individu dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Saingan kumite individu menutup tirai semalam dengan Wilayah Persekutuan tampil cemerlang apabila menambah koleksi emas.

Dua emas disumbangkan oleh G. Dharishini serta S. Rubhan setelah masing-masing unggul dalam kategori perempuan 55 kilogram ke bawah serta lelaki 67kg ke bawah.

Perolehan empat emas itu mengatasi pencapaian dua tahun lalu di Sarawak apabila hanya satu emas diraih menerusi S. Aashnavy bagi kategori perempuan 61kg ke bawah.

Ternyata kehadiran Shaharudin serta G. Yamini yang juga bekas atlet kebangsaan banyak membantu persembahan cemerlang yang ditampilkan.

"Jika dilihat kepada prestasi atlet pada kali ini berbanding saingan 2016, kami merangkul empat emas pada hari kedua, di mana ia telah melepasi pencapaian sebelum ini. Jadi, ia dikira telah meningkat," katanya.

Sementara itu, Shaharudin menganggap persembahan yang dipamerkan oleh atlet setiap negeri dalam saingan kali ini lebih meningkat jika dibandingkan dengan edisi terdahulu.

Walaupun beberapa kategori dikuasai oleh wakil kebangsaan, tentangan yang diberikan kepada mereka amat sengit dan Shaharudin percaya kemampuan barisan atlet muda dapat terus ditingkatkan.

"Kami melihat prestasi atlet-atlet Wilayah Persekutuan serta wakil negeri lain, ia berkembang dan memang berpeluang cerah untuk diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan. Sebagai bekas atlet karate, saya rasa mereka sudah mampu untuk ke pentas antarabangsa."