Drama mewarnai hari terakhir final boling padang di Kompleks Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan tumpuan terarah kepada kontinjen Selangor yang dalam misi untuk membolot sebanyak mungkin pingat emas untuk menguasai acara ini dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Selangor dan Terengganu cuba untuk mengutip sebanyak mungkin pingat untuk hari terakhir bagi mengejar gelaran sebagai juara keseluruhan sukan boling padang Sukma 2018.

Bagi saingan berpasangan lelaki, Selangor mempertaruhkan Muhammad Haikal Roslan dan Muhammad Haiqal Azami untuk berentap dengan wakil Johor, Mohamad Ikmal Imran dan Muhammad Fikri Hashim.

Selangor ternyata unggul untuk menang 12-10, khususnya Muhammad Haiqal Azami yang tewas sebelum ini dalam acara perseorangan lelaki untuk menebus kekecewaannya dengan meraih emas.

"Kami memang puas dengan kejayaan ini tetapi bagi saya, yang penting adalah mempamerkan permainan yang cantik dan bersih," kata Haiqal.

Hasrat Selangor untuk menambah koleksi emas bagi acara perseorangan wanita pula tidak kesampaian apabila wakil mereka, Afiqah Dayana Budiman, tumpas dalam aksi final kepada peserta Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah Tarmizi.

Afiqah yang ketinggalan pada awal permainan cuba mengejar daripada kedudukan 10-15 menjadi 16-18, namun kesilapan pada saat akhir membawa padah apabila dia terpaksa berpuas hati dengan perak untuk akur dengan keputusan 19-16.

"Saya tidak dapat buat apa yang saya hajati.

"Semua peserta mahu menang dalam acara terakhir ini. Saya cuba buat yang terbaik dalam setiap end yang membuatkan saya terus mengejar kedudukan mereka berbekalkan semangat," kata Afiqah.