Ketua jurulatih renang Selangor, Marilyn Chua, mengakui cabaran lebih sukar buat mereka bagi mengekalkan penguasaan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Dua tahun lalu di Sarawak, saingan renang menjadi lubuk emas buat kontinjen Selangor dengan meraih 20 pingat emas.

Antara yang cemerlang sudah pasti Yeap Zheng Yeng yang memenangi tiga emas bahagian lelaki manakala bahagian perempuan menyaksikan Nadia Redza, Caroline Chan serta Yap Siew Hui masing-masing memperoleh dua emas.

Begitupun, ketiadaan tujuh perenang yang telah melebihi had umur, menyaksikan Selangor mempertaruhkan beberapa muka baharu.

Lantaran itu, Marilyn meletakkan sasaran yang lebih realistik bagi saingan yang akan bermula esok.

"Sukar untuk melepasi 20 emas kerana kami realistik berikutan kehilangan tujuh perenang senior, jadi kali ini kami mempertaruhkan ramai perenang muda.

"Sasaran kami adalah di antara 12 hingga 15 pingat emas.

"Kalau dapat menang lebih, ia dianggap sebagai bonus," katanya.

Dalam pada itu, Marilyn berpuas hati dengan keadaan kolam renang di Pusat Akuatik Tuanku Zara yang dinaik taraf sempena penganjuran Sukma kali ini.

Jelasnya lagi, tidak mustahil catatan masa perenang lebih baik dalam saingan kali ini, malah turut berpeluang untuk memecah beberapa rekod kejohanan.

"Kolam ini sangat bagus dan anak buah saya juga dapat berenang dengan pantas.

"Setakat ini tiada sebarang masalah dan ia sebuah kompleks yang menarik dengan kemudahan yang bagus.

"Saya harap atlet Selangor dapat mencapai sasaran sambil memecah rekod," katanya lagi.