Skuad boling tenpin Sarawak terus mengukuhkan reputasi mereka sebagai sebagai kuasa besar setelah mengungguli saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan membawa pulang keseluruhan tujuh pingat emas.

Skuad boling tenpin Sarawak pada awalnya hanya meletakkan sasaran empat pingat emas, namun Sarawak mempamerkan aksi memukau untuk menjangkaui sasaran asal, dengan akhirnya menuai keseluruhan tujuh pingat emas daripada 11 acara dipertandingkan.

Pingat emas terakhir mereka disumbangkan Abang Afiq Yazid Abang Azman dalam acara masters lelaki setelah menumpaskan wakil Melaka, Muhammad Hasif Ali Hanafiah, dalam aksi final.

"Saya cuba memberikan persembahan yang berkualiti dalam aksi terakhir ini dan jurulatih telah membantu saya," kata Abang Afiq.

Lebih membanggakan, penguasaan Sarawak dalam boling tenpin di pentas Sukma adalah sejak edisi 2014 di Perlis lagi apabila mereka membawa pulang enam emas manakala ketika menjadi tuan rumah Sukma pada 2016, Sarawak menyapu bersih kesemua 11 pingat emas yang ditawarkan.

"Tiada rahsia, hanya hasil kerja keras dalam sesi latihan dan memberikan tumpuan yang terbaik bagi saingan Sukma ini," kata pengurus pasukan Sarawak, Robert Lu.