Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 menjadi misi serampang dua mata buat Persekutuan Wushu Malaysia yang bukan sahaja mencari bakat baru sebagai persiapan awal menjelang Sukan SEA Manila 2019, malah turut menjadi medan persiapan fokus kepada disiplin baru wushu, iaitu acara sanda.

Sukan wushu di Malaysia sebelum ini lebih menumpukan kepada acara taolu atau seni pertunjukan seperti chanquan, nangun dan taijijian sehingga mampu melahirkan juara dunia seperti Wong Weng Son.

Bagi menjadikan Malaysia terus bersaing dan muncul antara kuasa besar dalam sukan itu, Persekutuan Wushu Malaysia kini akan turut menitikberatkan acara sanda, iaitu acara seni tempur.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Lim Chong Fatt, berkata ia sejajar dengan misi mahu cuba meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2019 memandangkan Filipina sudah bercadang untuk menyenaraikan 10 acara wushu sanda dalam temasya dwi-tahunan itu.

"Dalam Sukan SEA seterusnya, kami akan cuba mengharumkan nama negara dalam acara sanda, termasuk Sukan Asia 2022," kata Chong Fatt.

Dalam Sukma Perak 2018, sanda mempertandingkan tiga acara seperti lelaki bawah 56 kilogram, bawah 60kg dan bawah 70kg.

Chong Fatt juga menjelaskan banyak bakat baru akan dipertimbangkan berdasarkan prestasi mereka di Perak dan ia bukan sahaja tertumpu kepada sanda, malah prospek baru dalam disiplin taolu turut akan dibawa ke perhatian ahli exco dan barisan kejurulatihan untuk diserap ke dalam kem kebangsaan.

"Kami akan pulang, menyemak semula klip video serta persembahan setiap atlet. Setakat ini, kami akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk membawa atlet yang layak ke Bukit Jalil dengan kadar segera."