Acara terakhir olahraga Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak hari ini menyaksikan Sabah membawa pulang pingat emas menerusi acara 4x400m lelaki.

Kuartet Sabah yang dibarisi Riksi Tahir, Shahrimien Saimoh, Tonga Jody Edmund dan Zaidie Khani Kanisus menamatkan larian dengan catatan masa 3:14.42s bagi mengatasi tujuh kuartet lain.

Pingat perak bagi acara itu dimenangi kuartet Selangor yang mencatat masa 3:14.79s manakala pingat gangsa dirangkul kuartet Terengganu yang mencatat masa 3:15.48s.

Terdahulu, bagi acara sama dalam kategori wanita, pingat emas diraih kuartet Kedah yang dibarisi Nur Aqilah Yusnifadzly, Nur Nasyatul Nadia Md Nasri, Teoh Kim Chyi dan Teoh Kim Ling.

Pingat perak bagi acara itu pula dimenangi kuartet Perak dengan masa 4:01.35s manakala Sabah sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas menamatkan larian di tempat ketiga dengan masa 4:03.89s.