Pelumba berbasikal lebuh raya Johor, Mohammad Saari Amri Abd Rasim, mencipta kejutan apabila menjuarai kategori lepas beramai-ramai Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Dominasi Terengganu dalam acara berbasikal lebuh raya berjaya dipecahkan kontinjen Johor selepas Saari menawan perlumbaan yang bermula dari Arena Batu Kurau, hari ini.

Seramai 73 peserta mengambil bahagian dengan Terengganu menjadi pilihan selepas mengungguli ujian masa individu menerusi Nur Aiman Zarif, semalam.

Justeru, Wan Abdul Rahman Hamdan menjadi tunjang kepada Terengganu untuk mempertahankan gelaran acara lepas beramai-ramai tetapi terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan di tempat kedua untuk pingat perak.

Bagaimanapun, Saari mempunyai strategi tersendiri apabila melakukan pemecahan di beberapa tempat untuk menggugat strategi kem Terengganu.

Hasilnya, biarpun Muhammad Nurfitri Ammar Rusli dilihat hampir pasti muncul juara, masalah rantai basikal mengakibatkan dia terpaksa melupakan saingan menuju ke garisan penamat.

Aliff Farhan Abu Samah yang mewakili Wilayah Persekutuan pula meraih gangsa.