Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo, meneruskan kecemerlangannya apabila menggondol pingat emas keempat peribadi selepas memenangi acara compound individu lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Perak, hari ini.

Eugenius menewaskan pencabarnya dari Pulau Pinang, M. Khambeswaran, 145-144 dalam aksi akhir di Universiti Teknologi Petronas.

Dia sebelum ini mengumpul tiga pingat emas menerusi acara 70m compound, 50m compaund dan 30m compound.

Atlet berusia 17 tahun itu turut memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 70m dan 50m compound selain menyamai rekod kebangsaan bagi acara 30m compound.

"Saya menggunakan sebaiknya pengalaman menyertai Sukma 2016 untuk membuat yang terbaik dalam temasya kali ini.

"Buruan emas saya tidak terhenti di sini kerana saya juga mahu membantu Sabah memenangi emas dalam acara berpasukan, seterusnya mengharumkan nama negeri Sabah," katanya.