Wilayah Persekutuan terus menguasai acara angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) 2018, kali ini menerusi Jabriella Teo Samuel yang bukan sahaja menggondol dua pingat emas, malah melakar sejarah dengan rekod baru kebangsaan acara snatch kategori 75kg, hari ini.

Jabriella, yang merupakan atlet kebangsaan dan turun sebagai penyandang juara, mengimpikan untuk memecah rekod kebangsaan berusia lapan tahun milik Arisha Farra Erwin dari Johor yang melakukan angkatan 85kg dalam Sukma 2010 di Melaka.

Selepas dua angkatan, Jabriella akhirnya membuat angkatan 86kg untuk bukan sahaja mempertahankan emas, malah menjulang rekod baru kebangsaan.

Ini merupakan penampilan terakhir yang sempurna buat Jabriella di pentas Sukma sejak membuat kemunculan pada edisi 2012 di Pahang.

"Memang saya bersedia untuk memecah rekod kebangsaan dan Sukma untuk acara snatch tetapi dalam acara clean and jerk, saya gagal melakukannya," ujarnya.

Jabriella juga berada dalam kelas tersendiri apabila dia meraih emas dalam acara clean and jerk dengan angkatan 90kg.

Namun, dalam masa yang sama, dia agak terkilan kerana dua angkatan terakhirnya gagal membuahkan hasil untuk dia sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan (103kg) bagi acara itu.

"Saya memang kecewa, kalau saya berjaya dengan angkatan 104kg tadi, satu lagi rekod boleh dipecahkan," katanya lagi.