Rekod kejohanan selama 16 tahun bagi acara 400 meter lelaki dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) dipecahkan oleh atlet Selangor, Muhammad Ilham Suhaimi, selepas meraih pingat emas acara berkenaan.

Saingan 400m itu menyaksikan tiga atlet menjadi tumpuan, iaitu Ilham, Shahrimien Saimoh dari Sabah serta wakil tuan rumah, Cheah Yau Chung.

Permulaan baik dilakukan oleh ketiga-tiga atlet itu yang bersaing hebat menuju ke baki 100m ke garisan penamat dan Ilham mengatur langkah untuk menjarakkan kedudukan, sekali gus menamatkan saingan dengan catatan 47.02 saat.

Catatan itu mengatasi rekod kejohanan, 47.34s, yang dilakukan oleh bekas pelari kebangsaan, Muhd Zaiful Zainal Abidin, dalam edisi 2002 di Kuala Lumpur

Yau Chung terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua manakala Shahrimien melengkapkan pungutan pingat di tangga ketiga.

"Tumpuan saya adalah merebut pingat dan tidak bercadang memperbaiki catatan masa peribadi terbaik. Ini satu kejutan untuk saya. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan paling penting, rezeki daripada Allah," katanya.

Sementara itu, saingan wanita dimenangi oleh atlet Perak, Shereen Samson Vallabouy, menerusi catatan 55.69s.

Zaiman Atifah Zainuddin yang mewakili Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua, diikuti Nur Athirah Khairul Noormizan dari Pahang yang membawa pulang gangsa.