Gimnas Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh Khai Ling, berada dalam kelas tersendiri selepas menguasai gelanggang gimnastik di Stadium Indera Mulia, Ipoh dengan membolot empat pingat emas acara gimnastik berirama individu Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19, hari ini.

Rayna beraksi cemerlang dengan persembahan menarik menerusi aparatus belantan dan mendahului dengan kutipan 13.600 mata, menewaskan rakan sepasukan, Iman Alisha Fakhri Yassin, yang meraih pingat perak (12.900 mata) dan gimnas Selangor, Lai Yun Jo, meraih gangsa dengan 11.200 mata.

Rayna yang bakal menyertai Sukan Olimpik Remaja di Argentina, bulan depan, turut mengungguli aparatus reben dengan pungutan tertinggi 12.600 mata, mengalahkan rakan sepasukan, Jingle Shak Qi (11.000 mata) dan gimnas Perak, Lok Mei Hui, meraih gangsa dengan 10.350 mata.

“Saya sangat gembira dengan penampilan terakhir dalam Sukma. Saya berjaya menyumbangkan kesemua pingat emas kepada kontinjen Wilayah Persekutuan, termasuk dalam acara berpasukan. Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak memikirkan siapa lawan.

“Semua gimnas ada kelebihan tersendiri...yang penting di gelanggang setiap rutin perlu baik dan kurang melakukan kesilapan. Saya berharap gimnas Wilayah Persekutuan terus cemerlang dalam Sukma akan datang,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Rayna berharap kejayaan itu dapat menyuntik semangatnya untuk memberikan persembahan lebih baik di Argentina dan dia akan berusaha keras agar dipilih menyertai Sukan SEA Filipina tahun depan.

Bagi rutin bola, Rayna meraih mata tertinggi 15.300 mata, menewaskan rakan sepasukan, Ng Joe Ee, dengan 13.450 mata di tempat kedua manakala gimnas Selangor, Lai Yun Jo, ketiga dengan 13.300 mata.

Rayna melengkapkan pingat emas keempatnya dalam aparatus gelung selepas mengutip 15.300 mata, mengetepikan pencabarnya dari Perak, Iris Hoo Xin En (11.450 mata) sementara Iman Alisha menambah koleksi pingat dengan meraih gangsa dengan kutipan 11.350 mata.

Semalam, Rayna membantu menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen Wilayah Persekutuan dalam acara berpasukan keseluruhan.

Acara gimnastik berirama yang menutup tirai hari ini, menyaksikan Wilayah Persekutuan mengungguli sukan itu dengan pungutan lima pingat emas keseluruhan.

-- BERNAMA