Pulau Pinang membuktikan masih berbisa dalam sukan sepak takraw apabila meraih pingat emas acara antara regu selepas menewaskan Johor 2-0 di pentas akhir Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Ulu Kinta, malam ini.

Kemenangan skuad Pulau Mutiara itu, yang diketuai tekong kebangsaan, Said Ezwan Said De, yang baru pulang daripada menyertai Sukan Asia 2018 baru-baru ini, ternyata mempamerkan aksi memukau dengan banyak melakukan ‘servis ace’.

Menurutnya, kekecewaan terlepas pingat emas acara regu berpasukan kepada Terengganu dua hari lalu menjadi semangat baginya dan dua lagi rakannya untuk berusaha keras mendapatkan pingat emas dalam perlawanan akhir itu.

“Syukur, berkat usaha kami bertiga serta dorongan dan tunjuk ajar daripada barisan kejurulatihan, kami berjaya mencapai kejayaan.

“Walaupun ada sedikit tekanan ketika beraksi tadi kerana terlalu memikirkan untuk mendapatkan emas, saya berjaya atasi tekanan itu dan berjuang sehingga ke mata penamat,” kata tekong itu yang membuat penampilan terakhir dalam Sukma.

Kekalahan itu menyaksikan Johor membawa pulang pingat perak manakala gangsa milik bersama Kelantan dan Melaka yang terkandas dalam separuh akhir.

Sementara itu, Johor terus kempunan apabila turut gagal meraih emas acara beregu lelaki selepas tewas 0-2 di tangan Kelantan dalam aksi yang berlangsung serentak.

Beregu Kelantan yang diketuai pemain kebangsaan, Aidil Aiman Azwawi, mudah mengatasi beregu Johor yang diwakili Muhammad Lutfi Hadi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin dengan straight set 21-18, 21-19.

Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berkongsi pingat gangsa selepas kedua-dua pasukan tewas dalam aksi separuh akhir.

-- BERNAMA