Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Khas, Sukan Malaysia (Sukma), Datuk Low Beng Choo, memberi tempoh sehingga hujung bulan depan berhubung isu membabitkan Taekwondo Malaysia (TM) dan pihak persatuan negeri agar diselesaikan dengan cara baik.

Isu berhubung penggunaan logo dan jurulatih yang hanya di bawah tauliah TM antara dua isu berbangkit walaupun pendaftaran penyertaan telah ditutup ketika ini.

Ternyata perkara ini telah dibangkitkan sekian lama, namun masih belum ada jalan penyelesaian.

Susulan itu, Beng Choo memberi tempoh sehingga penghujung bulan depan sebagai tarikh akhir isu ini untuk mencapai kata putus di antara kedua-dua pihak, iaitu TM dan juga Majlis Sukan Negeri.

"Kami tidak menetapkan peraturan sebegitu, bukan sahaja untuk taekwondo, bahkan semua jenis sukan.

"Penyertaan ini adalah menerusi Majlis Sukan Negeri dan langkah ini telah diterima pakai oleh semua sukan.

"Saya berharap mereka dapat menyelesaikan perkara ini supaya tidak mencetuskan masalah besar," kata Beng Choo lagi.

Dalam perkembangan sama, venue untuk sukan bola sepak sudah ditetapkan di empat lokasi berbeza.

Ia melibatkan Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim dan Padang Bandaran Majlis Daerah Kerian.

"Bagi jenis sukan yang tidak diadakan di Ipoh, penginapan mereka terletak berdekatan dengan venue pertandingan.

"Ini akan menjimatkan kos walaupun lebih mencabar buat sekretariat Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri masing-masing.

"Tetapi, kami sudah biasa dengan perkara ini," katanya lagi.