Selangor memberi amaran awal kepada semua kontinjen lain dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bahawa ia mahu mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu di Sarawak berdasarkan persiapan rapi sepanjang tahun lalu.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor, Amirudin Shari, berkata mereka sedang memasuki fasa akhir persiapan kontinjen bagi pemilihan acara berpasukan.

Beliau melihat cabaran sengit pasti akan hadir daripada tuan rumah, Perak selain kuasa besar lain seperti Sarawak dan Terengganu.

"Cabarannya lebih sengit kerana kemenangan Selangor di Sarawak tidak disangka oleh mana-mana negeri lain. Tuan rumah bagi saingan kali ini akan memastikan menghalang usaha kami untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan," kata Amirudin.

Sukan renang yang membantu perolehan 20 pingat emas keseluruhan Selangor di Sarawak dijangka terus menjadi lubuk pingat buat kontinjen itu.

Namun, Amirudin mengakui Selangor tidak terlalu bergantung kepada beberapa jenis sukan semata-mata untuk mendapatkan emas.

Menurutnya, statistik Sukma 2016 memperlihatkan Selangor mampu meraih pingat dalam hampir semua sukan yang mereka ambil bahagian.

"Hampir semua acara yang dipertandingkan, Selangor berjaya meraih pingat kecuali beberapa sukan yang gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan," ujarnya.