Kecederaan tulang kolar dan lutut kiri tidak melunturkan semangat Fatin Izzati Ahmad Rosdi untuk berjuang dalam memastikan dia muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama buat Perak dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19.

Penuntut tahun dua Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu menjuarai acara judo kategori bawah 63 kilogram (kg) wanita yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Krian, hari ini.

"Sebenarnya saya tidak yakin dapat menang hari ini kerana dua hari sebelum pertandingan, saya cedera semasa berlatih tetapi Alhamdulillah saya dapat menghadiahkan emas pertama buat negeri Perak dan diri saya sendiri.

"Kemenangan ini satu kepuasan kerana segala penat-lelah dan pengorbanan saya terhasil," katanya.

Atlet berusia 21 tahun dari Chemor itu berharap kemenangan itu akan membolehkan dirinya diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Kontinjen tuan rumah meraih pingat emas kedua dalam acara judo melalui Najmuddin Samari dalam kategori bawah 55kg lelaki.



Sementara itu, Terengganu menguasai pungutan pingat emas acara judo apabila memenangi tiga daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan hari ini.

Terengganu memenangi pingat emas menerusi Muhamamd Izham Harun (bawah 60kg lelaki); Mohamad Aizul Hilmi Zainudin (bawah 73kg lelaki) dan Nur Ain Hafiezza Amran (lebih 70kg wanita).

Johor pula meraih dua pingat emas hasil kemenangan Muhammad Haikal Iskandar Halidon dan Siti Noor Aisyah Shahabuddin masing-masing dalam kategori bawah 66kg lelaki dan bawah 70kg wanita.

-- BERNAMA