Pesilat Perak, Putri Nur Syifaa Azhari, mengakui dia berasa pengorbanan yang dilakukan berbaloi apabila meraih pingat emas saingan solo kreatif putri Sukan Malaysia (Sukma) Perak, semalam.

Putri Nur Syifaa mencatat mata tertinggi di pentas final dengan 221 mata, namun pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting itu mengakui dia perlu melakukan penjadualan tepat bagi mengimbangi pelajaran dan juga latihan.

Bagaimanapun, dia tetap berjaya melakukannya walaupun ia bukan satu tugas yang mudah.

"Pada hujung minggu, saya akan jalani latihan dan hari biasa, saya meneruskan pembelajaran. Ia memang penat tetapi demi Perak, saya menyahut cabaran itu," katanya.

Bagi Putri Nur Syifaa, tidak mungkin dia mampu meraih emas dalam Sukma jika tidak menerima dorongan daripada ibu-bapanya.

Bapanya, Azhari Basri, adalah individu pertama melatihnya dalam sukan silat.

"Syukur kerana ibu-bapa saya sangat menyokong, termasuk jurulatih dan rakan sepasukan.

"Saya memang diajar daripada kecil dan kejayaan ini adalah berkat doa ibu-bapa saya."