Kontinjen Pahang memulakan saingan memanah dengan langkah kanan apabila bukan sahaja membolot dua pingat emas dalam acara 90 meter compound lelaki dan wanita, malah turut mencuri tumpuan apabila Muhammad Fahrur Rosi Choiril Anuar memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Acara memanah membuka tirai hari ini dengan mempertandingkan lapan emas di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar.

Tatkala beberapa pasukan membariskan atlet memanah kebangsaan, Pahang menempa kejutan, khususnya Fahrur yang melakar 335 mata untuk mengatasi rekod kejohanan 330 mata yang dilakar Wong Co Wan dari Sabah dalam Sukma Sarawak 2016.

Kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat Fahrur apabila dia masih mempunyai lima lagi acara untuk menambah koleksi pingat dalam temasya kali ini.

"Saya mencatat mata yang lebih tinggi dalam sesi latihan individu tetapi bagi temasya ini, catatan yang dilakar juga tinggi," katanya.

Pahang juga cemerlang menerusi Nur Azlin Azlan dalam acara memanah compund 90 meter dengan 338 mata, jauh melebihi catatan barisan peserta kategori lelaki.

Saingan yang cukup sengit disaksikan dalam kategori wanita apabila jarak mata di antara setiap pemenang pingat tidak jauh beza, dengan perak milik Nur Aqilah Khairul dari Johor dengan 335 mata sementara Athirah Awni Mat Yahya dari Terengganu memenangi gangsa dengan 333 mata.

"Pada awalnya, panahan saya agak menurun kerana masalah cuaca.

"Selepas itu, saya berjaya bangkit.

"Saya berasakan catatan kali ini juga tinggi tetapi saya mampu merakamkan mata yang lebih baik lagi," kata Nur Azlin.