Hukuman gantung seluruh pasukan bakal dilaksanakan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terhadap atlet dan persatuan negeri seandainya mereka didapati positif bahan terlarang menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Julai depan.

Langkah itu dilihat sebagai salah satu kaedah untuk membersihkan nama PABM yang sering dipalit dengan isu doping ketika diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21, Disember lalu.

Ujian rawak akan dilaksanakan sebelum saingan berlangsung dan sekiranya terdapat atlet yang positif mengambil bahan terlarang, bukan atlet itu sahaja bakal berdepan hukuman berat tetapi keseluruhan kontinjen diharamkan untuk mengambil bahagian bagi saingan angkat berat.

"Kami baru sahaja menamatkan AGM. Memang perlembagaan telah ditukar dan dikuatkuasakan. Sekiranya selepas ini mana-mana atlet yang berasal daripada negeri ada buat kesalahan, kami akan gantung negeri dan atlet itu sendiri," kata pengurus skuad angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim.

Edisi Sukma Perak 2018 merekodkan dua kes doping membabitkan atlet angkat berat dari Pantai Timur yang positif dengan bahan terlarang jenis methylhexanamine.

"Memang ia terlampau keras tetapi ia bertujuan untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang lagi. Jadi, kami terpaksa ambil satu langkah keras agar semua berhati-hati."



Editor: Nafis Abdullah