Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, memberi sokongan penuh kepada sukan angkat berat untuk kembali disenaraikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 selepas sukan itu disahkan bebas daripada doping.

Lima atlet angkat berat menjalani ujian doping mengejut, Julai lalu, dan kesemuanya negatif, mereka terdiri daripada; Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.

Ia sekali gus meningkatkan peluang acara berkenaan untuk kembali disenaraikan dalam Sukma Johor tahun depan berikutan sebelum ini terpalit dengan kes doping yang banyak.

"MOM memberikan sokongan sepenuhnya untuk menyenaraikan semula acara angkat berat dalam Sukma.

"Isu doping yang melibatkan beberapa atlet sebelum ini tidak seharusnya memberikan impak kepada pembangunan sukan tersebut di negara ini," katanya.

Sementara itu, Norza mahu mengambil pendekatan untuk mengadakan sesi perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) demi menyelesaikan isu berat badan atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan, kerana masih dianggap salah satu harapan Malaysia untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik.

"Kami akan berbincang dengan pihak MSN mengenai masalah melibatkan isu berat badan Syakilla yang gagal menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020," tambahnya.

Syakilla sudah empat kali gagal menyertai kejohanan antarabangsa yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo dengan yang terbaru, dia gagal menyertai Kejohanan K1 di Jepun dalam kategori kumite 55kg.