Tuah aksi pada hari lahir menyaksikan atlet lompat tinggi Johor, Norshafiee Mohd Shah, meraih pingat emas pada hari pertama olahraga Sukan Malaysia (Sukma) 2018 untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dua tahun lalu.

Reputasi sebagai atlet pelapis kebangsaan menjadikan Norshafiee sebagai antara pilihan dalam saingan di Stadium Perak, Ipoh, hari ini.

Nyata dia tidak mengalami kesukaran, khususnya melepasi ketinggian 2.03m di peringkat awal yang turut dilakukan pencabar utamanya dari Sabah, Mohamad Eizlan Dahalan.

Dia kemudian meningkatkan lagi ketinggian berkenaan kepada 2.06m dan melepasinya dalam percubaan pertama.

Eizlan kemudian gagal melepasi halangan tersebut, sekali gus memberikan emas kepada Norshafiee dengan gangsa milik Amer Haiqal Ismail dari Kedah.

Di sebalik kejayaan meraih emas, Norshafiee mengakui sedikit kecewa kerana tidak berpeluang memperbaiki catatan peribadinya, iaitu 2.15m.

"Hari ini mungkin hari bertuah saya kerana memenangi emas dalam Sukma.

"Saya berterima kepada pihak MSN negeri dan para jurulatih dari Johor dan MSN.

"Catatan yang dilakukan agak tidak memuaskan atas beberapa faktor.

"Tetapi, ia pencapaian yang memuaskan," katanya.

Kejayaan memenangi emas itu juga cukup bermakna buat penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenaan dalam penampilan terakhirnya di pentas Sukma.

Ini kerana dia mengalami kecederaan ligamen lutut hujung tahun lalu yang memerlukan masa hampir enam bulan untuk pulih.

"Saya masih dalam proses pemulihan.

"Tahun lepas, kaki saya terpaksa disimen kerana salah satu ligamen putus.

"Kalau saya menjalani pembedahan, ia akan memakan masa dan tidak sempat untuk saya menyertai Sukma," tambahnya.

Sementara itu, saingan 5,000m jalan kaki menyaksikan kekecewaan buat atlet Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazaman, selepas penyertaanya dibatalkan meskipun menamatkan saingan di tempat pertama.

Emas menjadi milik Koong Jia Lin dari Sarawak dengan Nurul Ashikin Hussin serta Laura Tan May Chern masing-masing dari Wilayah Persekutuan dan Selangor melengkapkan kedudukan podium.