Atlet menembak Pahang, Nik Nor Nabilah Syahidah Nik Nor Rosdi, tidak menjangka mampu meraih dua pingat emas buat negerinya dalam saingan 25 meter pistol wanita individu dan berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, hari ini.

Nabilah melakukan bidikan konsisten dengan jumlah kutipan 564 mata untuk memastikan emas sebelum turut membantu Pahang mengutip emas berpasukan wanita dengan catatan 1,626 mata.

Namun, dia mengakui berasa risau dengan cabaran daripada penembak Johor, Nurul Syasya Nadiah Arifin, yang mencatat 562 mata untuk membawa pulang perak.

"Pada mula saingan, saya tidak terfikir untuk meraih emas tetapi cuba tampil dengan aksi terbaik. Risau memang ada kerana saya memikirkan berada di kedudukan bawah tetapi apabila keputusan diumumkan, saya memenangi saingan," kata Nor Nabilah.

Sementara itu, saingan 10m air pistol lelaki diungguli oleh atlet tuan rumah, Siau Zianyi, dengan 565 mata.

Zianyi menewaskan pencabar terdekatnya, Mohd Qamarul Naim dari Terengganu, yang meraih 563 mata untuk sekadar membawa pulang perak.

"Skor kemenangan hari ini bukan yang terbaik untuk saya tetapi saya gembira kerana memberikan emas buat Perak, jadi saya gembira," ujar Zianyi.