Juara Sukan Komanwel, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, adalah antara badang negara yang lahir menerusi Sukan Malaysia (Sukma) di mana nasib acara angkat berat akan diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Putrajaya, esok.

Azroy mula menempah nama sebagai salah seorang atlet angkat berat menerusi Sukma ketika merangkul dua pingat perak di Pahang pada 2012.

Dua tahun kemudian, dia bangkit meraih satu emas dan satu gangsa untuk mengukuhkan kedudukan sebagai jaguh utama kebangsaan dalam kategori 56 kilogram.

Bagaimanapun, deretan kes doping menyaksikan Jawatankuasa Tertinggi Sukma menggantung status acara angkat berat untuk menyertai 30 jenis sukan yang sah akan dipertandingkan dalam temasya itu di Johor, tahun depan.

"Bagi saya, acara angkat berat perlu dipertandingkan dalam Sukma kerana barisan atlet terbaik di peringkat kebangsaan akan membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan tersebut," kata Azroy.

Tambahnya lagi, "Saya, Aznil Bidin, dan Hafifi Mansor mula menempah nama menerusi Sukma. Saya berharap sukan ini dipertandingkan semula."