Tiga sukan yang digugurkan daripada sukan teras berpeluang untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ipoh 2018 apabila semua Majlis Sukan Negeri (MSN) sebulat suara membuat rayuan rasmi supaya diterima semula dalam temasya yang dijadualkan September ini.

Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma 2018, Datuk Low Beng Choo, berkata perkara itu telah diputuskan dan rayuan akan dibawa ke Majlis Tertinggi Sukma 2018 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, MSN sedia untuk memberikan alasan yang sewajarnya supaya tiga acara, iaitu sepak takraw, angkat berat dan taekwondo dipertandingkan dalam Sukma 2018.

"Tiga sukan ini berpeluang dipertandingkan. Jika ada rayuan, saya rasa ada peluang. Berjaya atau tidak, itu kita tidak tahu.

"Oleh itu, latihan perlu diteruskan, jangan gugurkan sebab manalah tahu. MSN harus menganggap ia sebagai persiapan jangka panjang bukan hanya untuk Sukma di Perak tetapi Sukma di Johor selepas ini," katanya.

Mengenai persiapan Perak untuk penganjuran Sukma 2018 dari 12 hingga 22 September depan, Beng Choo berkata persiapan di semua venue dan keperluan logistik berjalan lancar.

"Kami yakin kerajaan negeri akan memastikan semua venue dan kemudahan untuk Sukma siap mengikut jadual," katanya lagi.