Jurulatih ragbi 7s Sabah, Brad Mika, percaya Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam saingan wanita berlandaskan tahap permainan di Sukan Malaysia (Sukma) Perak kali ini.

Bagi bekas pemain All Blacks ini menganggap pemain-pemain wanita tempatan turut memiliki potensi.

Mika berasakan pentas Sukma adalah tempat terbaik untuk mengesan bakat baru dan apa yang penting mereka mendapat pendedahan secukupnya dalam peringkat tertinggi.

"Kami perlu memberikan peluang serta pendedahan kepada mereka. Saya yakin mereka mampu menghasilkan sesuatu pada masa akan datang," kata Mika.

Sementara itu, Mika turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pasukannya di Sukma kali ini.

Skuad kendalian Mika hari ini menewaskan Pulau Pinang 54-0 dalam aksi Kumpulan E.

"Setiap pasukan yang bersaing dalam Sukma mahu mara ke final. Kami telah berusaha dengan baik sejak permulaan tahun ini daripada segi persiapan mental dan fizikal untuk meraih kejayaan di Perak."