Sebanyak lima rekod kebangsaan dan 27 rekod temasya melibatkan sukan angkat berat diperbaharui sepanjang berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata ia merupakan keputusan terbaik dan sesuatu yang boleh dibanggakan, yang mana semangat juang atlet bertanding dapat ditonjolkan.

“Saya percaya dalam Sukma Johor pada 2020, lebih banyak persaingan dan rekod kebangsaan pula dipecahkan. Melalui Sukma ini juga, kita akan dapat mencari pelapis-pelapis kebangsaan yang boleh diketengahkan.

“Angkat berat merupakan satu-satunya sukan yang telah mengambil komitmen untuk menjalankan ujian doping kepada semua atlet yang bertanding sebelum Sukma bermula. Semua negeri yang menghantar atlet memberikan kerjasama yang baik terhadap usaha ini, “ katanya menerusi satu kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet PABM, Amirul Hamizan Ibrahim, sudah diberi tanggungjawab oleh PABM untuk mencari atlet yang berpotensi untuk perancangan sukan yang seterusnya, katanya.

Sukan angkat berat yang berlangsung dari 14 hingga 21 September di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah, menawarkan 32 pingat emas dalam 16 kategori yang dipertandingkan, dengan penyertaan daripada 170 atlet dari 14 negeri.

Kontinjen Wilayah Persekutuan mengungguli kutipan pingat dengan merangkul sembilan pingat emas, sebutir perak dan empat gangsa, diikuti Selangor dengan lima emas, manakala Kedah, Sabah, Terengganu dan Pahang pula masing-masing meraih tiga pingat emas.

Ayub turut berharap dengan kesungguhan PABM, persatuan angkat berat negeri, para atlet, jurulatih dan Majlis Sukan Negeri yang terlibat, sukan angkat berat diberi pertimbangan sewajarnya untuk kembali diangkat sebagai sukan teras.

-- BERNAMA