Atlet lompat jauh kebangsaan, Abdul Latiff Romly menepati ramalan mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak, Ipoh, hari ini.

Latiff yang mengalami kecederaan di buku lali kaki kanannya seminggu sebelum bermulanya acara itu, bagaimanapun, gagal memperbaharui rekod Sukma yang masih lagi dipegang atlet Perak, Mohd Hazuan Zainal Abidin yang dilakar pada 2002 di Sabah dengan lompatan sejauh 7.55 meter.

Dalam acara berkenaan, pemuda berasal dari Kampung Paya Kelubi, Arau itu melakukan lompatan terbaik 7.46m bagi menyumbang pingat emas keenam buat kontinjen Perlis.

Pingat perak diraih atlet Sabah, Andre Anura @ Anuar dengan lompatan 7.39m, ketinggalan 0.07m kepada Latiff manakala gangsa menjadi milik wakil Kedah, Muhamad Nazri Mustafa dengan lompatan 7.28m.

“Saya sedikit kecewa kerana tidak dapat memperbaharui rekod kejohanan memandangkan ini Sukma terakhir saya. Namun, saya mencapai sasaran kontinjen Perlis untuk menyumbang pingat emas.

“Saya kurang selesa ketika hendak melakukan lompatan kerana terganggu dengan kecederaan yang saya alami di buku lali, mungkin itu punca saya gagal untuk mencipta lompatan yang lebih jauh. Dalam lompatan terakhir, semasa mendarat, kaki saya sudah kembali rasa sakit dan kejang,” katanya kepada Bernama.

Selepas ini, Latiff, 21, akan terbang ke Indonesia bagi menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta dan menyasarkan untuk memecahkan rekod acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) yang kini dipegang atlet Jepun, Tetsunori Matsumoto, dengan lompatan sejauh 6.13m.

“Saya akan fokus kepada Sukan Para Asia pula selepas ini dan berazam untuk memadamkan rekod terdahulu, namun semuanya bergantung pada hari pertandingan dan saya berharap saya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika itu,” katanya.

Untuk rekod, catatan terbaik peribadi Latiff adalah 7.85m yang dilakukan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sementara itu, tuan rumah menambah satu lagi kutipan emas bagi saingan olahraga menerusi Ngu Jia Xin bagi acara lompat tinggi wanita.

Jia Xin yang mencipta kejutan untuk menjuarai Terbuka Malaysia, Mei lalu, menyasarkan untuk memperbaiki catatan peribadi 1.71 meter.

Begitupun, dalam saingan Sukma ini, dia terpaksa berpuas hati dengan catatan 1.66m selepas gagal dalam percubaan 1.69m.

Emas menjadi milik Jia Xin manakala Nini Sharmiza Salim serta Tuan Juliana Tuan Hassan, masing-masing dari Johor dan Terengganu meraih pingat perak dan gangsa.

Jia Xin yang juga atlet pelapis kebangsaan selepas ini akan memberi tumpuan penuh terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum merancang pertandingan yang bakal disertai, khususnya pada 2019.

"Saya gagal melakukan catatan peribadi terbaik dalam saingan kali ini. Selepas tamat Sukma, saya akan memberikan fokus untuk SPM," kata Jia Xin.

-- BERNAMA