Atlet olahraga Selangor, Muhammad Aqil Yasmin, mengukuhkan statusnya sebagai raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dengan memecahkan rekod kejohanan 200 meter pecut untuk meraih pingat emas sementara atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias, menghadiahkan emas ketiga buat kontinjen negerinya.

Dua hari lalu, Aqil unggul menawan acara 100m pecut lelaki.

Kali ini, dia turun bagi saingan 200m pecut apabila kembali bersaing dengan beberapa peserta pilihan, antaranya Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang mewakili Perak.

Mereka bersaing sengit dengan Aqil yang beraksi di lorong keenam memecut laju untuk mengatasi pesainganya, sekali gus merangkul emas kedua peribadi dalam temasya kali ini.

Lebih manis, dia melakar rekod baru kejohanan, 21.01 saat, untuk mengatasi rekod lama, 21.03s, milik Khairul Hafiz Jantan yang dilakar dalam Sukma Sarawak 2016.

"Jurulatih berpesan agar saya menghabiskan perlumbaan ini yang merupakan acara kegemaran saya.

"Beliau menuntut saya agar memberikan yang terbaik, jangan berputus asa dari awal sehingga garisan penamat," kata Aqil.

Saingan wanita turut sengit apabila sekali lagi menampilkan Azreen dari Terengganu yang dalam misi untuk melakar emas hatriknya selepas mengungguli acara pecut 100 dan 4x100m sebelum ini.

Pesaingnya adalah pelari tuan rumah, Shereen Samson Vellabouy.

Azreen sekali lagi memperagakan prestasi menakjubkan di balapan dengan melakar 24.76s untuk memungut emas manakala Shereen terpaksa berpuas hati di dengan perak.

Gangsa milik pelari dari Sabah, Chelsea Cassiopea.

"Saya hanya sasarkan pingat dan tidak sangka dapat memintas Shereen.

"Semua tahu bahawa dia memang laju, jadi ini satu kejutan buat saya," kata Azreen.