Sabah melangkah ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 selepas menewaskan Pahang 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium TLDM di Lumut, Perak, petang tadi.

Perlawanan penuh dramatik itu terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam 120 minit permainan termasuk masa tambahan.

Beraksi dalam keadaan cuaca terik, Pahang mendahului Sabah seawal minit ke-5 menerusi jaringan ketua pasukan mereka, Mohd Faisal Abdul Halim bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Skuad muda Tok Gajah kemudian menambah jaringan menerusi Muhammad Jadulhaq Sairul Fauzi yang melakukan penyudah baik di dalam kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah melancarkan serangan demi serangan bagi mengurangkan jurang kedudukan dan akhirnya berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-63 menerusi tandukan Stanley Sulong hasil hantaran lintang Mohd Azmizan Ruslih.

Empat minit kemudian, Stanley sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledak gol kedua Sabah selepas satu keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti bagi mengubah kedudukan menjadi 2-2.

Jaringan itu jelas menyuntik semangat Sabah untuk terus memburu gol dan pada minit ke-75, cubaan 'volley' cantik dari Hamran Peter berjaya menggegarkan gawang Pahang bagi menjadikan kedudukan berpihak kepada mereka 3-2.

Pada minit ke-82, Sabah sepatutnya menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain mereka, Ariusdius Jais dikasari pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, peluang itu disia-siakan apabila sepakan Mohd Aidil Safee diselamatkan penjaga gol Pahang dan tandukan susulannya selepas itu juga tersasar.

Dengan keputusan seakan-akan hampir pasti memihak kepada Sabah, penyerang Pahang, Muhammad Badrul Amin Jesmi berjaya menyamakan kedudukan di masa kecederaan bagi menjadikan kedudukan 3-3, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Selepas 120 minit permainan berlangsung, keputusan masih kekal 3-3 walaupun kedua-dua pasukan masing-masing memiliki beberapa peluang baik untuk menambah jaringan dan keputusan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti juga penuh debaran namun akhirnya Sabah berjaya melangkah ke separuh akhir dengan kedudukan 7-6.