Perenang Wilayah Persekutuan, Keith Lim, memecah rekod Sukan Malaysia (Sukma) pada hari terakhir acara renang dengan melakukan catatan 23.44 saat dalam saingan 50 meter gaya bebas lelaki, hari ini.

Keith menewaskan pencabar terdekatnya dari Pulau Pinang, Lim Yin Chuen, yang meraih perak dengan catatan 24.17s manakala gangsa diraih wakil Selangor, Lim Zimwin, dengan 24.23s.

Keith, yang turut beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, mendedikasikan rekod baru dan emas berkenaan buat bekas jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham.

"Yang pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada keluarga, seterusnya kepada barisan jurulatih, terutama Paul Birmingham.

"Tanpa beliau, saya pasti tidak dapat melakar keputusan seperti hari ini," katanya.

Turut meraih emas ialah perenang Terengganu, Arvin Shau Singh, yang merakam emas dalam saingan 1,500m gaya bebas lelaki dengan catatan 15:58.26s.

Perenang Selangor, Neesa Yip Yi Wen, pula meraih emas saingan 100m kuak lentang wanita dengan catatan 1:07.35s.

Selangor muncul juara keseluruhan saingan renang menerusi kejayaan 12 emas.

"Sudah tentu kami akan kembali memberi saingan hebat pada edisi akan datang.

"Rata-rata perenang kami masih muda dan saya harap mereka mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi," kata Ppengurus Selangor, Marilyn Chua.