Kegagalan dalam acara snatch memberikan lebih motivasi buat atlet angkat berat Sabah, Marceeta Marlyne Marcus, apabila memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bagi acara clean and jerk kategori 58 kilogram perempuan.

Saingan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah itu menyaksikan Marceeta menjadi pilihan, apatah lagi dia merupakan atlet pelapis kebangsaan.

Begitupun, kejutan berlaku dalam acara snatch apabila dia gagal melepasi bebanan 71kg dalam tiga percubaan.

Situasi itu membuka peluang buat atlet Kedah, Siti Barirah Azhari, meraih emas dengan angkatan 74kg, diikuti perak milik peserta Sarawak, Marthini Chan, di samping Nurul Anis Abdullah dari Perlis memperoleh gangsa.

Kekecewaan Marceeta ditebus dalam acara clean and jerk apabila dia mengangkat bebanan 91kg pada percubaan pertama untuk mendahului saingan.

Nyata dia sukar diatasi peserta lain dan angkatan 97kg selepas itu menyaksikan dia mengatasi rekod kejohanan 96kg milik atlet Kelantan, Nur Farisha Irwana Md Supian, yang dilakukan pada edisi 2014 di Perlis.

Marceeta kemudian mengidam untuk mengatasi rekod kebangsaan dengan percubaan 98kg, namun gagal berbuat demikian tetapi masih berpuas hati dapat mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu.

Pingat perak diraih Marthini di samping Siti Barirah yang melengkapkan kedudukan podium.

Ini merupakan pingat emas ketiga buat Sabah dalam saingan angkat berat selepas Elly Cascandra Engelbert mengungguli acara snatch serta clean and jerk kategori 53kg, semalam.

"Semasa acara snatch, saya memang berasa tertekan tetapi jurulatih dan pegawai membantu meningkatkan motivasi saya.

"Saya mahu memecahkan rekod Sukma, kalau boleh dalam kedua-dua acara, tetapi hanya dapat melakukannya dalam satu acara sahaja.

"Bebanan 97kg itu adalah yang kali pertama saya lakukan," kata Marceeta.