Kekecewaan tumpas dalam final Piala Presiden ditebus kembali skuad Kedah apabila menumbangkan seteru sama, Terengganu, 2-1 di peringkat separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, semalam.

Ini merupakan pertemuan kedua-dua pasukan dalam tempoh kurang sebulan, dengan kali terakhir mereka bertembung dalam final Piala Presiden, 30 Ogos lalu, yang memihak kepada Terengganu.

Apatah lagi, Terengganu mahu menamatkan kemarau lapan tahun daripada beraksi di pentas final Sukma dan kesungguhan itu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya oleh anak buah Badrul Afzan Razali.

Bermula dengan satu sepakan percuma pada minit ke-27, kapten pasukan Terengganu, Muhammad Aqil Irfanuddin, pantas menyambar bola untuk meletakkan pasukannya di depan.

Kedah meningkatkan asakan dan peluang menjelma 10 minit kemudian apabila kegagalan pertahanan Terengganu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membuka ruang untuk pemain Kedah, Muhammad Aiman Afif, melepaskan rembatan untuk mengikat kedudukan sehingga tamat babak pertama.

Kedua-dua pasukan disajikan dengan deretan peluang terhidang dalam babak kedua, namun jentera serangan masing-masing tumpul untuk menyudahkannya dan perlawanan diheret sehingga masa tambahan.

Drama menghiasi penghujung masa tambahan setelah pertahanan Terengganu didakwa mengasari pemain Kedah dalam kawasan penalti.

Mohd Fadzrul Daniel tenang menyempurnakan peluang itu pada minit ke-112, seterusnya membawa Kedah ke pentas final Sukma 2018.

"Kami cuba mengurangkan kesilapan yang membenarkan Terengganu menang dalam final Piala Presiden. Saya berpuas hati dengan kemenangan ini," kata jurulatih Kedah, Victro Andrag.

"Sangat kecewa kerana Kedah meraih sepakan penalti pada penghujung permainan dan meraih kemenangan. Ia merupakan insiden yang sama ketika kami mengatasi mereka dalam final Piala Presiden," kata Aqil.