Skuad berbasikal Johor menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas acara berbasikal selepas Mohamad Saari Amri Abd Rasim memenangi acara lebuh raya 140 kilometer (km) lepas beramai-ramai lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19, hari ini.

Kejayaan Mohamad Saari, 20, itu yang mencatat masa 3 jam 24 minit 37.104 saat turut memecah dominasi skuad berbasikal Terengganu dalam acara tersebut.

"Tiada kata dapat saya ungkapkan atas kemenangan ini, hanya puas. Kami dapat memecah dominasi Terengganu dalam acara ini. Seingat saya kali terakhir Johor mendapat pingat emas adalah dalamSukma 2002," katanya.

Perlumbaan tersebut bermula di Arena Batu Kurau dan berakhir di Dataran Warisan.

Saingan hari kedua acara berbasikal itu menyaksikan aksi penuh dramatik pada jarak 100 meter terakhir ke garisan penamat apabila berlaku pelanggaran melibatkan pelumba Johor, Muhammad Nurfitri Ammar Rusli, dan pelumba Terengganu, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim.

Susulan pelanggaran itu, Muhammd Shahmir terjatuh dan mengalami kecederaan manakala Muhammad Nurfitri putus rantai basikal dan terpaksa menolak basikalnya ke garisan penamat.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, ketika ditemui berkata pihaknya telah membuat bantahan mengenai insiden berkenaan.

"Kami mendahului sejak 40km perlumbaan bermula sebelum penamat sehinggalah pada 100 meter terakhir, pelumba Johor ada himpit dia (Muhammad Shahmir Aiman) dan terkena tayar terus dia jatuh.

"Kami kalah kerana masalah teknikal disebabkan dihimpit, jadi kami buat bantahan 30 minit selepas tamat perlumbaan," katanya.

Pingat perak acara berkenaan dimenangi Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu dengan catatan 3:24.37.119s manakala gangsa menjadi milik pelumba Wilayah Persekutuan, Muhamad Aliff Farhan Abu Samah, dengan catatan 3:24.37.469s.

-- BERNAMA