Faktor cuaca menyaksikan hari pertama acara berbasikal trek Sukan Malaysia (Sukma) Perak hari ini terpaksa ditangguhkan, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada semua perlumbaan mampu dilengkapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Hari pertama saingan berbasikal trek menyaksikan empat pingat emas menjadi rebutan.

Begitupun, hujan lebat pada sebelah petang menyaksikan hanya final acara scratch 10 kilometer lelaki dan perempuan dapat dihabiskan manakala baki tiga lagi acara iaitu pecut lelaki dan perempuan serta 4km kejar-mengejar individu lelaki tidak dapat dilangsungkan dengan perlumbaan terdahulu ditunda selama sejam.

Menurut Ketua Komisar Basikal Trek Sukma 2018, Nor Azhar Abu Bakar, panel komisar membuat keputusan untuk menangguhkan tiga lagi acara itu ke pagi esok atas faktor keselamatan berikutan permukaan trek yang licin.

"Kami sempat menghabiskan acara pecut lelaki dan wanita sebelum meneruskan acara scratch.

"Ini kerana pelumba-pelumba yang beraksi dalam acara scratch terdiri daripada pelumba yang sama dengan acara pecut.

"Kami perlu memberi rehat kepada para pelumba.

"Sekiranya hujan setiap hari, kami tidak boleh menghabiskan acara mengikut jadual asal. Ia perlu ditangguh," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Nor Azhar turut mengesahkan perlumbaan penentuan perlu diadakan bagi menentukan pemenang pingat gangsa bagi acara 10km scratch perempuan.

Ia berikutan timbul kekeliruan mengenai jumlah pusingan yang dilakukan empat pelumba dari Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan serta Pahang.

Perlumbaan itu menyaksikan Terengganu mendominasi kedudukan 1-2 menerusi Ezzatie Fifyana Shazwanie Shaiful Hisham serta Nur Aisyah Muhammad Zubir tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan esok.